Pengobatan Rasulullah Dalam Tinjauan Sains: Bekam Penyembuh Sepanjang Zaman

  1. PENDAHULUAN

 Penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan kanser merupakan penyakit-penyakit kronik yang menyebabkan punca utama kematian dan kemasukkan ke hospital di Malaysia. Pihak kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha untuk mengurangkan kejadian penyakit-penyakit tersebut tetapi hasilnya tidak memuaskan.

Rawatan bekam dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kadar kejadian dan komplikasi penyakit-penyakit tersebut. Ia merupakan rawatan tradisional yang telah diamalkan oleh pelbagai lapisan masyarakat sejak ribuan tahun dahulu dan telah dibuktikan berkesan melalui pelbagai kajian saintifik.

Rasulullah S.A.W. mengamalkan bekam untuk semua jenis kesakitan serta menggalakkan para sahabat berbekam. Jabir r.a.  meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda “Sekiranya terdapat kebaikan daripada perubatan kamu maka adalah dengan meminum madu atau turisan bekam atau selaran api, dan aku tidak suka menggunakan besi panas”.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda “Sesungguhnya sebaik baik rawatan yang kamu gunakan ialah bekam.”

Pada masa ini terdapat ramai pengamal bekam tetapi mereka tidak mendapat latihan secara formal baik dari segi teori ataupun latihan amali. Oleh itu, pihak kami berhasrat untuk melatih ibu-ibu tunggal serta golongan miskin bandar dengan kemahiran berbekam supaya mereka dapat memberi perkhidmatan bekam kepada penduduk sekitar tempat tinggal mereka serta menambah pendapatan untuk membantu kumpulan terpinggir ini.

  1. HADIS-HADIS BERKAITAN BEKAM

2.1. Ibn ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Penyembuhan terdapat di dalam tiga perkara iaitu seteguk madu, bekam dan besi panas. “ Tetapi aku melarang umatku menggunakan besi panas”. (HR Bukhari)

2.2. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda “Pada malam aku diisra’kan, aku melalui sekumpulan malaikat dan mereka berkata kepada aku: “Wahai Muhammad, hendaklah kamu berbekam.” (Sahih Abi Dawud: Al-Albaani)

2.3. Dari Abdul Rahman Bin Abi Nuim, beliau berkata bahawa beliau ada melawat Abu Hurairah pada masa dia sedang berbekam, lalu Abu Hurairah berkata kepadanya: “Wahai Abu Al-Hakam, hendaklah kamu berbekam”, lalu aku berkata kepadanya: “Aku tidak pernah sekali pun berbekam”. Beliau berkata sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Jibrail memberitahu aku bahawa berbekam itu sebaik-baik rawatan yang digunakan oleh manusia”. (Al-Hakim )

2.4. Diriwayatkan dari Salma hamba Rasulullah SAW, beliau berkata: “Tiadalah aku mendengar seseorang pun yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang sesuatu penyakit melainkan Rasulullah SAW akan menyuruh orang tersebut melakukan bekam”.

  1. KAJIAN SAINTIFIK BEKAM

Bermula pada tahun 2011 hingga 2014, satu kajian telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail dari Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kesan bekam terhadap pengurangan risiko penyakit jantung melibatkan individu yang sihat, mereka yang mengalami masalah diabetes dan darah tinggi. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengenalpasti kesan terapi bekam darah di kalangan subjek ke atas indeks jisim tubuh, tekanan darah, parameter biokimia, fungsi ginjal dan fungsi endotelial.

Sembilan puluh tiga subjek yang berumur diantara 30 dan 60 tahun telah menyertai kajian ini. Enam puluh dua individu yang tiada penyakit kronik telah dibahagi secara rawak dan seimbang kepada kumpulan kontrol dan kumpulan intervensi. Bagi kumpulan diabetes, 31 peserta terlibat. Bekam dilakukan ke atas subjek dalam kumpulan intervensi dan kumpulan diabetes, manakala tiada intervensi dijalankan bagi individu dalam kumpulan kawalan. Dua sesi berbekam telah dilakukan; di permulaan kajian dan pada bulan ketiga.  Penilaian telah dilakukan di permulaan kajian, bulan pertama, bulan ketiga (sebelum sesi kedua bekam) dan bulan ke empat untuk semua peserta.

Dalam kumpulan bekam tanpa diabetes, terdapat penurunan signifikan paras gula darah (FBS) dan semua parameter fungsi ginjal (serum urea, kreatinin dan asid urik) dari permulaan kajian kepada bulan pertama, ketiga, dan keempat. Serum trigliserida dan tekanan darah sistolik (SBP) juga menunjukkan penurunan yang signifikan di bulan pertama. Semua profil serum lipid kecuali trigliserida menunjukkan penambahbaikan yang signifikan pada bulan ketiga dan keempat. Faktor antigen Von Willebrand (VWF) juga menunjukkan penurunan yang signifikan pada bulan keempat. Di akhir  kajian, semua profil serum lipid, FBS, serum urea dan kreatinin bertambah baik secara signifikan berbanding dengan kumpulan kawalan.

Begitu juga bagi kumpulan diabetes.  FBS, tekanan darah, dan semua parameter fungsi ginjal menunjukkan penurunan yang signifikan pada bulan pertama, ketiga dan keempat. Paras kolesterol keseluruhannya menunjukkan penurunan yang signifikan pada bulan ketiga dan kempat. Untuk serum HDL-C, LDL-C dan antigen VWF, perubahan dilihat pada bulan keempat.

  1. Kesimpulan dari kajian ini adalah seperti berikut:
  1. Berbekam dapat mengawal diabetes dengan menurunkan paras gula darah (FBS)
  2. Berbekam dapat menurunkan paras serum urea,
  3. Berbekam dapat menurunkan paras kreatinin
  4. Berbekam dapat mengawal ”gout” dengan menurunkan asid urik
  5. Berbekam dapat mengawal lemak dalam darah dengan menurunkan paras serum trigliserida
  6. Berbekam dapat mengawal lemak dalam darah dengan menurunkan paras serum total cholesterol
  7. Berbekam dapat mengawal lemak dalam darah dengan menurunkan paras serum LDL-cholesterol
  8. Berbekam dapat mengawal lemak dalam darah dengan meningkatkan paras serum HDL-cholesterol
  9. Berbekam dapat mengawal tekanan darah dengan menurunkan tekanan darah sistolik (SBP)
  10. Berbekam boleh menurunkan risiko sakit jantung dan ”stroke” dengan menurunkan paras antigen Von Willebrand (VWF) dan meningkatkan fungsi endotelial.
  1. OBJEKTIF 1 FAMILI 1 JURUBEKAM 

Kami menjalankan program latihan untuk melatih jurubekam yang dpat berkhidmat dalam masyarakat, untuk melahirkan seorang jurubekam dalam setial keluarga (1 famili 1 jurubekam)

5.1 Mendidik masyarakat memahami bekam dan kaedah-kaedah berbekam yang betul serta menepis segala ketakutan masyarakat tentang bekam.

5.2 Mengiktiraf jurubekam-jurubekam tradisional yang sedia ada dengan diberikan pengiktirafan dalam bentuk persijilan yang diiktiraf mengikut prosedur yang telah ditetapkan (SOP).

5.3 Menyediakan platform dalam membantu ramai orang Islam mendapatkan kemahiran Jurubekam Klinikal.

5.4 Membantu golongan ibu tunggal, miskin bandar dan asnaf meningkatkan kemahiran diri, seterusnya membolehkan mereka menjana pendapatan melalui Perkhidmatan Bekam Klinikal.

  1. HARAPAN DAN PENUTUP

Pihak kami amat mengharapkan kerjasama pelbagai pihak untuk menjayakan program ini. Ia merupakan langkah pertama kearah penawaran kursus lain berkaitan dengan amalan Sunnah untuk meningkatkan mutu penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat. Semoga usaha murni ini direstui oleh Allah S.W.T. di dalam usaha untuk menghidupkan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Disediakan oleh,

PROF. DR. AB. AZIZ AL-SAFI ISMAIL, PSK

([email protected])

PENYELARAS PROGRAM

19 April 2019

 

 

Share

Leave comment